POSMETRO MEDAN – – Dalam rangka Pekan Raya Sumatera Utara (PRSU) Ke-50 Tahun 2026, Paviliun Pulau Pinang mempersembahkan Melayu Night, sebuah malam seni dan budaya yang menampilkan keindahan warisan budaya Melayu melalui persembahan tarian, musik, fesyen, serta pelbagai aktiviti kebudayaan dalam suasana penuh kemesraan.
Acara yang berlangsung pada Ahad, 26 Juli 2026, dimulakan dengan persembahan flashmob, diikuti Kebaya Nyonya Showcase oleh Dr. Kenny Loh di Paviliun Pulau Pinang. Persembahan diteruskan dengan tarian kebudayaan oleh Kumpulan Penari Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, persembahan nyanyian oleh Syifa, persembahan violin oleh Syaifuddin Dadek Lubis, pertandingan Melayu Night Best Dressed, serta persembahan Boria yang mendapat sambutan hangat daripada para pengunjung.
Kemuncak acara pada pukul 9.00 malam (WIB) menyaksikan suasana yang begitu meriah apabila para pengunjung daripada pelbagai kaum dan latar belakang bersama-sama menikmati keindahan seni budaya Melayu yang dipersembahkan.
Di bawah pimpinan Fatimah Jamaludin bersama seluruh pasukan penganjur dan kru, persembahan tersebut berjaya memukau ribuan pengunjung yang hadir di kawasan pintu masuk utama PRSU. Paviliun Pulau Pinang yang megah turut menjadi antara tarikan utama sepanjang penganjuran pesta rakyat terbesar di Sumatera Utara itu.
Keunikan Kota Medan sebagai warisan Melayu Deli turut menjadi perhatian pengunjung, khususnya dengan kewujudan Istana Maimun, lambang sejarah dan kebudayaan Melayu yang masih berdiri megah di tengah-tengah Kota Medan sebagai simbol hubungan serumpun antara Indonesia dan Malaysia.
Selain persembahan budaya, para pengunjung turut dihiburkan dengan lagu-lagu popular Malaysia yang dibawakan oleh Syifa, termasuk lagu yang pernah dipopularkan oleh Dato’ Sri Siti Nurhaliza, sehingga mengajak para pengunjung menari dan bernyanyi bersama.
Menurut Ketua Pasukan, Fatimah Jamaludin, penyertaan Pulau Pinang di PRSU bukan sekadar memperkenalkan seni dan budaya, malah menjadi platform untuk menunjukkan kepada dunia bahawa masyarakat Melayu hidup dalam kepelbagaian etnik, budaya dan agama, namun tetap bersatu dalam semangat keharmonian dan persaudaraan.
Selain persembahan kebudayaan, Paviliun Pulau Pinang turut menawarkan pelbagai makanan tradisional serta produk-produk keluaran usahawan dari Pulau Pinang yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung sepanjang berlangsungnya PRSU.
“Melalui penyertaan ini, kami berharap hubungan persaudaraan antara Pulau Pinang dan Sumatera Utara akan terus diperkukuh, sekali gus menjadikan PRSU pada tahun-tahun akan datang lebih meriah dan bermakna,” ujar beliau.Syam
EDITOR : Putra












